Monday, August 23, 2010

Chelsea macam dalam aksi 'PS'

BENAYOUN (tengah) menerima pujian daripada rakan-rakan
 sepasukannya selepas dia meledakkan gol keenam Chelsea awal pagi semalam.


LONDON - Chelsea seolah- olah beraksi seperti dalam permainan 'konsul PlayStation (PS)'.


Demikian tegas pengurusnya, Carlo Ancelotti selepas melihat anak-anak buahnya membenam Wigan 6-0 awal pagi semalam, mengulangi kemenangan dengan jaringan serupa pada aksi pertama menentang West Brom minggu lalu.

Namun, Ancelotti tetap memberitahu bahawa bukan mudah untuk Chelsea mengulangi jumlah 103 gol yang dijaringkan mereka sepanjang 38 perlawanan Liga Perdana England musim lalu.

"Kami akan cuba bermain seperti yang kami lakukan musim lalu. Kami mahu menang dan beraksi dengan baik. Kedua-duanya telah kami pamerkan pada dua perlawanan awal setakat ini.

"Tetapi memang mustahil untuk menganggap kami akan sentiasa menjaringkan enam gol pada setiap perlawanan. Ia tidak akan menjadi bola sepak sebenar tetapi permainan PS.

"Ia tidak pernah berlaku kepada saya tetapi kami perlu fokus untuk perlawanan akan datang, cuba memenanginya dan mempamerkan aksi bola sepak terbaik," kata Ancelotti.

Chelsea hanya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Florent Malouda pada minit ke-34 sebelum menambah lima gol pada babak kedua menerusi Nicolas Anelka (48, 52), Salomon Kalou (78, 90) dan Yossi Benayoun (90).

"Wigan cuba bangkit pada babak kedua dan sebab itulah mereka memberi lebih ruang kepada penyerang kami dan serangan balas yang kami lancarkan juga dapat disudahkan dengan baik.

"Ia tetap perlawanan yang sukar kerana Wigan beraksi baik sepanjang babak pertama. Mungkin kerana mereka keletihan pada babak kedua dan ia lebih mudah buat kami mengasak," jelas Ancelotti.

Sementara itu, pengurus Wigan, Roberto Martinez kini menghadapi tugas berat untuk mengembalikan keyakinan para pemainnya selepas kempen musim ini dimulakan dengan dua kekalahan teruk.

"Pada babak pertama, pemain kami beraksi dengan baik dan saya berasakan kami tidak bernasib baik selepas ketinggalan 0-1.

"Tetapi berbeza pada babak kedua, selepas ketinggalan 0-3, kami terus berputus asa dan tidak dapat memberi tumpuan," kata Martinez. - Agensi

No comments:

Post a Comment